Wednesday, 4 November 2015

Anak Anugerah Allah

Teks : rosniwati jamaludin

     Semalam adik saya Ehsan datang ke Muar menziarahi kami sekeluarga.  Ehsan dalam perjalanan dari Batu Pahat ke  kampung tercinta, Cameron Highlands.  Datang dengan dua niat tersurat dan tersirat.   Sambil berziarah sambil melancarkan satu misi memujuk saya dan suami agar memberi keizinan anak sulung kami  Najm ikut pulang ke kampung.   Misi ni awal-awal dah dirancang oleh bos besar iaitu abah akibat terlalu rindukan cucunya. Memikirkan abah yang dah berusia dan anak sulung saya cucu kesayangan atoknya, dengan berat hati saya relakan jua.   Hanya doa kepada Allah menguatkan hati.
     Mungkin ibu bapa di luar sana pernah mengalami situasi seperti ini.  Sebagai ibu bukan mudah untuk melepaskannya walaupun dia bersama orang yang terpercaya.   Tambahan pula Najm saya sudah tetapkan jadual homeschooling di rumah.   Berbagai-bagai perkara menerjah di fikiran kita sebagai ibu bapa.   Faktor keselamatan,  disiplin masa, jadual makan minum,  dan juga aktiviti di kampung perlu diambil kira.   Saya siapkan satu surat buat mak dan abah dikampung beberapa perkara yang Najm perlu diperhatikan.   Waktu solat perlu dia diajak solat bersama-sama.   Mengaji perlu diteruskan dengan pengawasan opahnya.   Makanan saya tekankan tiada sebarang makanan ringan.  Impian saya dan saya pasti menjadi impian sebahagian ibu bapa di luar sana iniginkan anak menjadi insan terbaik.   Sempurna akhlak dan akidahnya.   Baik dalam hafalannya.   Kerana anak amanah dan juga aset yang tidak ternilai harganya.   Mengingatkan saya kepada satu Hadeeth Rasulullah dimana apabila kita meninggal dunia,  hanya ilmu bermanfaat,  doa anak yang soleh dan sedekah dapat membantu kita di sana.  Saya tiada harta yang banyak. Ilmu tidak sedalam mana tapi saya terus belajar dan belajar.  Walaubagaimanapun,  Alhamdulillah dikurniakan anak-anak.   Semoga kita sebagai ibu bapa mampu mendidik anak mengenal Islam yang murni.
      Kita bersyukur,  dengan bergelar suri rumah,  kita masih memiliki masa yang berharga bersama keluarga.   Siapa yang kita boleh harapkan untuk mendidik anak kita?   Saya teringat lima tahun lepas dimana awal-awal saya ambil keputusan tidak bekerja.   Berbagai komentar yang saya dapat.   Ada yang bersifat positif bahkan ada yang negatif.   "Ruginya tak kerja,  rugi ilmu tidak dipraktikkan,  rugi masa belajar lama akhirnya tak kerja."komen sebegini pasti ada yang pernah alami.   Tapi alhamdulillah setelah bertahun berlalu kini ada yang memberi komen,  "Bestla duduk rumah,  ada masa dengan anak-anak. "
Jadi,  di manakah nilai untung dan rugi?  Sudah tentu saya tidak memilih untuk rugi bahkan saya memilih untung yang berganda-ganda.
     Sesungguhnya, jalur hidup kita tidak semua sama.  Tapi kita perlu ingat dan perlu tanyakan kepada diri kita selalu kenapa kita diciptakan Allah? Jawapannya hanya satu,  Allah ciptakan jin dan manusia untuk beribadah kepadaNya.  Semoga apa yang kita kerjakan sebagai surirumah menjadi ladang amal buat kita.   Insyaallah hasilnya di sana kelak. 

No comments:

Post a Comment