Tuesday, 29 September 2015

Allah Sebaik-baik Perancang

Teks : rosniwati jamaludin
     15 November 2009, detik bersejarah lahirnya  putera sulung penyeri rumah tangga kami.   Masih tersimpan erat dalam lipatan memori ketika melahirkan suami berada di Indonesia bagi menyelesaikan pengajian.   Saat kelahiran ditemani  jururawat-jururawat wanita yang memberi layanan kelas pertama.   Mungkin simpati memenuhi ruang hati mereka apabila mendengar suami jauh di rantauan.
     3 bulan selepas melahirkan,  saat paling perit dirasakan.   Saya harus menyambung pengajian yang masih belum selesai di Indonesia.  Alhamdulillah waktu itu suami sudah mula bekerja di Malaysia. Namun,  perpisahan dengan si kecil sangat menyakitkan.   Paling menyayat hati si kecil ditinggalkan bersama orang tua saya di Pahang,  suami bekerja di Johor dan saya di Indonesia.  Selama hampir 5 bulan berjauhan dengan si kecil dan suami.   Pulang sebulan sekali sahaja untuk menziarahi mereka. Memang benar orang kata,  berjauhan dengan anak jauh lebih perit. Namun itulah penguat motivasi untuk menyelesaikan perkuliahan.
   Tamat tempoh pengajian,  saya terus membuat pertimbangan sama ada untuk bekerja atau tetap di rumah.   Setelah berbincang dengan suami dan istikharah,  saya ambil keputusan muktamat untuk tetap di rumah.  "Ruginya,  dah belajar tinggi-tinggi tak kerja.   Tak fikir panjang," itu antara komentar yang sering dihujani setelah mendengar keputusan saya.  Alhamdulillah,  suami sanggat-sangat memberikan kata semangat.   Masih terngiang-ngiang nasihat suami "Sabar, tanggungjawab isteri yang utama adalah terhadap suami dan mendidik anak-anak.  Anak-anak amanah dan setiap amanah bakal dipersoalkan di akhirat kelak.   Tempat terbaik wanita di rumah agar jauh dari fitnah".
   Alhamdulillah,  perancangan Allah sebaik-baik perancangan.   Saya mempunyai masa bersama dengan suami dan anak-anak.   Selepas melahirkpan anak kedua,  saya mula berjinak-jinak dengan dunia bisnes yang berasaskan dari rumah.  Pada awalnya bermula dengan cuba-cuba bisnes atas dasar minat. Bermula dengan membuat kuih muih dihantar ke kedai sarapan. Membuat air soya dan taufufa. Sehingga saya mula mengikuti kursus-kursus kek dan aneka roti.   Alhamdulillah dengan hanya berbisnes cuba-cuba dan suka-suka,  saya dimudahkan untuk mengumpul duit bagi membiayai yuran kelas masakan. Ar-rizq minallah.   Rezki dari Allah. Bahkan suami turut membantu melengkapkan peralatan meroti.
   Masuk kehamilan kelima,  saya mengalami alah yang berat berbanding kehamilan sebelumnya.  Aktiviti agak terbatas.   Walaupun tangan ni sebenarnya cukup gatal untuk meroti.  Saya terfikir,  mungkin Allah ada perancangan lain yang terbaik untuk saya.   Akhirnya,  saya terfikir sementara menunggu persalinan mungkin saya masih boleh berbisnes yang tidak memerlukan tenaga yang agak berat.   Saya terfikir berbisnes online dan dropship online. Kebetulan suami saya juga sekarang sedang mengembangkan bisnes produk-produk kesihatan.  Mungkin saya boleh membantu mempromosi produk tersebut.  Tapi saya tiada sebarang asas ilmu bisnes online.   Sehingga saya dipertemukan dengan  blog Puan Nasriah,  saya mula membaca blog beliau.  Saya teruja dengan blog dan penulisan beliau. Akhirnya,  saya mengambil keputusan berguru dengan mengikuti kursus asas blog dan penulisan disamping mengikuti bisnes dropship.   Saya mulai sedar dengan penulisan blog  juga kita boleh membawa pembaca setia menjadi pelanggan kita   Dari sini titik pertemuan dengan Puan Anys selaku guru blog saya.  Saya diberi tugas menjawab beberapa soalan analisa.   Atas nasihat beliau,  beliau mencadangkan untuk saya mengkhususkan blog tentang rawatan tradisonal.   Awalnya agak susah,  kerana ia bukanlah di bidang saya.   Cuma saya ada cenderung dan minat yang mendalam tentang rawatan tradisional.   Turut membantu juga saya mempunyai kelebihan tentang ilmu perubatan modern.  Mungkin ini satu wadah untuk saya menyalurkan ilmu yang saya ada agar bermanfaat untuk semua. Saya sedar,  ilmu perubatan sentiasa "up to date", Insyaallah dengan niat berkongsi ilmu Allah tambahkan ilmu saya juga.   Saya teringat salah seorang prof di Indonesia pernah berpesan dalam nada gurauan supaya kita banyak berfikir agar otak tak atrofi(mengecil) seperti orang tua-tua.
     Kini,  saya berusaha menyiapkan tugasan untuk 44 entri.  Alhamdulillah  dengan bimbingan Puan Anys banyak yang saya pelajari.   Menarik juga di sini,  saya dapat mengenali rakan-rakan akademi di mana saya dapat mengikuti pelbagai kisah dan perkembangan yang bermanfaat.
     Jadi, janganlah kita bersusah hati,  resah dan gelisah sekiranya ditakdirkan apa yang berlaku di luar perancangan kita.   Sesungguhnya,  perancangan Allah yang terbaik. 

No comments:

Post a Comment